Panduan Tips dan Petua Mudah Dalam Kehidupan Seharian

 


Sawan Tangis a.k.a COLIC

0
Posted June 10, 2011 by nenek in Lain-Lain Petua

Apa itu Sawan Tangis?

Bila ditanya kepada mana-mana ibu bapa, apakah yang paling meresahkan mereka, jawapannya tentu saja apabila si kecil menangis tanpa henti sepanjang malam. Apatah lagi jka bayi itu anak sulung bagi pasangan muda. Menangis dalam jangka masa yang panjang selalunya dirumus sebagai sawan tangis, ‘colic’ atau kembung perut.

Sawan tangis ataupun colic ini perkara biasa yang dialami bayi. Malah ia boleh menyerang setiap hari atau sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Setiap kali menangis, ia mungkin berterusan melebihi 2 hingga 3 jam.

Secara terperinci,  ‘colic’ merujuk kepada tangisan lama atau kerap. Namun, maksud ini sangat subjektif dan tolenransi ibu bapa terhadap tangisan juga berbeza.

Tangisan adalah komunikasi bayi dengan ibu bapa dan persekitarannya. Maksud itu samada dia kembung perut atau tidak, lapar atau mahu ibu bapa memahami gerak-geri dan tindak balasnya.

Walaupun sawan tangis ini tidak berbahaya dan bukan disebabkan kesakitan, bayi akan kelihatan seperti tidak selesa atau kesakitan. Bayi akan mengangkat kepala, mengangkat kakinya ke perut dan mukanya merah padam.

Bagaimana jika sawan tangis itu simptom masalah lain yang lebih serius?

Mulakan dengan mengenali erti tangisan bayi. Bayi anda mungkin lapar, letih, mahu dipeluk, dan sejuk apabila pakaian dibuka, ataupun dia diserang ruam lampin.

Jika semua sebab itu tiada, anak anda masih kerap menangis, bawa dia berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Tangisan berpanjangan mungkin boleh dikaitkan dengan masalah yang lebih serius, misalnya meningitis (jangkitan pada selaput otak).

Bayi yang mengalami Meningitis akan demam panas, menangis tanpa henti serta sukar dipujuk. Dalam kes ini, bayi kurang menyusu dan peringkat lebih serius boleh mengalami sawan.

Selain itu, masalah refluks kerap menyebabkan bayi menangis berpanjangan kerana kesakitan pada bahagian perut dan dada. Refluks adalah masalah berkaitan dengan kandungan perut berasid yang berlimpah keluar ke dalam saluran pemakanan dan menyebabkan bayi muntah.

Masalah refluks yang berlebihan atau patologikal akan menyebabkan bayi kerap muntah, mual, batuk, mengalami masalah pernafasan dan berat badan menurun. Masalah tidak serasi dengan laktosa juga menyebabkan bayi sakit perut, cirit-birit, muntah serta susut berat badan. Masalah sembelit juga menyebabkan bayi menangis secara terlampau.

Apa yang menyebabkan Sawan Tangis terjadi?

Jelas sehingga kini, tidak diketahui punca utama sawan tangis. Ada yang berpendapat usus bayi kurang matang dan belum berfungsi dengan baik menyebabkan sawan tangis kerap berlaku dibawah usia enam bulan.

Sawan tangis dikatakan berpunca daripada sistem saraf yang kurang matang. Oleh itu, bayi mudah teruja dan tidak berupaya meleraikan tangisannya apabila mula menangis. Bayi lebih terganggu dengan bunyi bising seperti TV, telefon atau suasana bunyi-bunyian yang bising.

Jika ibu menyusu, satu lagi faktor sawan tangis dikaitkan dengan jenis makanan yang diambil ibu. Mungkin sesetengah darinya menyebabkan pengeluaran gas atau angin yang menyebabkan bayi kembung atau ‘colic’.

RAWATAN

Selalunya, ia ditangani mengikut kepercaya sesuatu bangsa itu. Mungkin ada yang memilih untuk mententeramkan bayi dengan mendukung, membedung dan menidurkannya dalam buai. Ada juga yang selesa apabila dipasang penghawa dingin atau dimandikan dengan air suam. Mungkin juga anda boleh menyapu minyak pada perutnya dan membarutnya.

Bagii ibu bapa beragama Islam, mungkin mereka boleh membaca doa2 khusus atau memperdengarkan bacaan Al-Quran untuk mententeramkan bayi.

 

Petikan dari buku Panduan Sihat Wanita dan Kanak-kanak


About the Author

nenek

Memberi pelbagai petua kepada pelbagai masalah. Petua-petua ini diambil berdasarkan kepada petua nenek moyang, pengalaman sendiri, pengalaman pembaca dan pengguna yang lain. Petikan media massa dan elektronik juga.

0 Comments



Be the first to comment!


Leave a Response

(required)


Copy Protected by Chetans WP-Copyprotect.